TUJUAN HIDUP.
Berdakwah Dakwah
Skrip Kehidupan:
1 ARAH = HIDAYAH
2 TUJUAN = IBADAH
3 JALAN = ISLAM
4 BEKALAN = SOLAT
5 DORONGAN = BAHAGIA
6 PENGHALANG = DOSA
7 AKHIR = MATI
01. APA TAJUK BAB 1 DAKWAH ANDA?
Majoriti pelajar tersebut tidak tahu mereka hidup
untuk apa. Kenapa mereka perlu kepada Tuhan. Di mana
relevannya Islam kepada mereka. Ini merupakan core
subject dalam kursus kami. Pada kami, seandainya
soalan ini tidak terjawab, maka semua isu lain tidak
relevan kerana manusia yang tidak berhajat kepada
Tuhan, tidak akan terasa relevannya Islam. Bagaimana
mungkin seorang yang tidak dapat merasa dirinya perlu
kepada Tuhan, mahu diajak bersolat? Dia mahu
menyembah, bermunajat dan beribadah kepada siapa di
dalam solatnya? Kerana itulah kami berhati-hati di
dalam menentukan yang mana satukah presented problem
dan yang mana satu real problem yang sebenar.
Seandainya tanpa tujuan hidup yang betul, sudah
menyebabkan kewajipan Solat jadi tidak relevan, apatah
lagi untuk mengajak kumpulan ini kepada kewajipan
menegakkan negara Islam? Mungkin ada yang tetap dapat
faham dan terima, namun ramai juga yang natijahnya
jadi terpinga-pinga.
Sebagaimana Muaz r.a. diajar Rasulullah s.a.w. tentang
susunan tajuk dakwahnya di Yaman, maka pada saya, kata
kunci di sini ialah APA TAJUK BAB 1 DAKWAH ANDA?
02. SAYANGI DAN HORMATI MAD’U DAN JANGAN MALUKAN
ORANG
Kami menghormati dan tidak pernah memandang rendah
kepada mana-mana peserta kursus, walaupun
kadang-kadang kami diberi info oleh HR bahawa si
fulan, tahap masalahnya ialah menyepak bini andaikata
dia dapati bininya sembahyang! Kami tak pernah beri
muka sacarstic kepada peserta walaupun HR kata ada
seorang peserta kursus kali ini kerjanya memuja busut
jantan untuk dapat nombor ekor. Kami tidak meletakkan
sebarang persepsi atau expectation tertentu terhadap
mad’u.
Tanggapan sebegini bukan dibuat-buat. Ia harus datang
dari akal dan jiwa yang menyetujuinya. Saya berikan
perumpamaan, ketika anak kita yang berumur tiga tahun
tertumpah kopi di atas seperah, kita boleh sabar dan
tidak marah. Kenapa jika orang dewasa melakukannya
kita marah? Sebabnya, tiada sebarang persepsi,
piawaian atau standard yang kita letakkan kepada
seorang budak yang naif tak mengerti apa. Berbeza
dengan orang dewasa yang kita sudah tahu kebolehan dan
upayanya. Maka inilah yang kami pegang dalam soal
dakwah. Pada kami, amat ramai pelaku dosa yang
hidupnya sengsara kerana mereka masih kanak-kanak
dalam soal mengenal Tujuan Hidup. Mereka naif, mereka
sukar mencari jawapan, maka jangan dimarah mereka itu,
malah hulurkan tangan untuk membantu.
Semua yang datang ke kursus kami, dianggap sebagai
tetamu yang menerima jemputan Allah ke daerah
kebaikan. Pada TADBIR manusia memanglah kami merancang
kursus bersama HR. Tetapi pertemuan kami dengan
peserta adalah TAQDIR Allah. Jika Allah yang jemput
mereka ke ‘majlis-Nya’, maka jangan
sekali-kali kita yang juga sekadar hamba-Nya mahu
memperlekehkan sesiapa. Allah dengan sifat Maha Kasih
dan Maha Pemurahnya, tidak memilih dalam soal memberi
keperluan hajat manusia. Allah sudi mengampun manusia
yang jutawan dosa, maka siapa kita untuk membina kasta
di dalam dakwah? Ingatlah kata bijak pandai dalam hal
ini, “Hate the sin but not the sinner”.
Dalam isu ini kaedahnya mudah sahaja. People don't
care how much you know until they know how much you
care! Oleh itu, kata kunci saya di sini ialah SAYANGI
DAN HORMATI MAD’U SERTA JANGAN MALUKAN MEREKA.
03. JANGAN MENEKAN, BERIKAN TENANG, BERIKAN RUANG
Kami tidak pernah memberi sebarang tekanan, sama ada
dalam bentuk perkataan, sindirian, cebik-cebik muka
atau arahan berbau bossy di tempat yang kita bukan
bos, atau pushing di tempat kita nak pulling. Semua
peserta mesti dibenarkan untuk berfikir dengan tenang.
Jangan guna hailer untuk herdik mereka bangun subuh,
malah yakinkan supaya mereka optimis untuk solat Subuh
berjamaah di awal waktu. Tak perlu dimarah-marah jika
lewat sampai ke dewan, cukup sekadar sedarkan yang
mereka telah mengambil masa rakan. Golden rule: jangan
buat perkara yang kita tidak suka orang buat ke atas
kita.
Seterusnya jangan diguris perasaan mereka kerana
terluka jiwa akan membawa kepada terbinanya tembok
antara kita dan mereka.
Gunakan kaedah yang pelbagai untuk sampai kepada
tujuan yang sama. Kurangkan guna istilah BID’AH,
banyakkan guna TIDAK MENEPATI SUNNAH. Hindarkan
kalimah BODOH, biasakan menyebut TIDAK PANDAI. Guna
juga reverse psychology di kebanyakan tempat yang
ramai Melayu kerana itu tabiat mereka.
Di dalam kursus, kami tidak pernah menegur peserta
yang tidak menutup aurat. Cuma jika agak keterlaluan
pakaiannya, kami anjurkan agar si dia memakai pakaian
yang SELESA LAGI MENYELESAKAN. Syukur, lazimnya jika
tidak terus bertudung, ramai juga yang pada hari kedua
mencari selendang. Malah memang pernah ada yang
mengambil keputusan untuk bertudung sebelum kursus
tamat, semata-mata sebab ‘kami tak pernah sebut
walau sekali pun tentang kewajipan menutup
aurat’ dalam kursus tu. Lantas mereka tidak malu
dan segan untuk membuat keputusan. Apa yang kami
lakukan hanyalah dengan menyedarkan siapa dia di depan
Allah, dengan sendirinya rasa malu kepada Allah
mendorong dirinya untuk bertudung. Bukan kerana kami,
tetapi kerana malu diperhatikan Allah. Oleh itu, kata
kunci saya di sini ialah JANGAN MENEKAN, BERIKAN
TENANG, BERIKAN RUANG.
04. UBAH PENDIRIAN, FIKRAH DAN FAHAM DAKWAH, MESTILAH
SECARA INSIDE OUT
Ada peserta yang kata, “saya harap kawan-kawan
saya dapat ikut kursus ni. Saya nak share apa yang
saya dapat dari kursus ni dengan mereka. Mereka berhak
tahu...”.
Tidakkah ini sebenarnya telah menunjukkan yang peserta
itu dalam keadaan tudung senget benget dan keluar
tengkuk, sudah secara sukarela menerima konsep
kewajipan dakwah? Untuk memahamkan masyarakat tentang
kewajipan dakwah, bukanlah suatu yang mudah. Memang
semua orang boleh mudah terima jika al-Quran menyebut
tentang kewajipan Solat. Jika mereka enggan Solat
sekali pun, mereka masih rasa ayat tersebut ada kena
mengena dengan mereka. Soal mereka. Namun, apabila
al-Quran bercakap tentang kewajipan dakwah, lazimnya
manusia akan senget muka. Dakwah? Apa kena mengenanya
dengan aku? Aku tak suka kacau hal orang. Macam-macam
lagi reaksi spontan. Mungkin ramai yang rasa kalimah
dakwah itu terujuk kepada lebai-lebai yang mengajak
keluar 3 hari, atau ustaz-ustaz yang bersyarah di atas
kerusi, atau mungkin juga tudung dan nasyid yang
dikaitkan sebagai uniform dakwah dan lagu dakwah.
Itulah persepsi biasa terhadap dakwah.
Kenapakah sukar bagi kita mengajak orang untuk
sama-sama berdakwah? Sebabnya ialah, kita gunakan
pendekatan outside in. Atas alasan ‘sentiasa
mengutamakan al-Quran dan al-Sunnah’ kita
lambakkan nas naqli tentang kewajipan dakwah sebanyak
mungkin, supaya akan rasa berdosa dan jahat jika masih
tidak mahu berdakwah sama. Walaupun syukur memang ada
yang akhirnya bertekad untuk bersama, tetapi ramai
juga yang hatinya berkata, “ye la, dah Allah
suruh, Nabi suruh, takkan nak lawan!”
Namun pendekatan kami di dalam kursus adalah
sebaliknya. Kami cuba sedarkan peserta bahawa erti
hidup ini ialah pada memberi, dan bukannya menerima.
Siapakah yang lebih gembira, ayah yang berjaya membawa
pulang kereta mainan idaman anaknya, atau si anak yang
menerima pemberian bapa? Tentunya yang lebih gembira
di saat itu ialah bapa. Bapa memberi, anak menerima.
Menerima melahirkan senang, tetapi memberi
menghasilkan tenang. Orang yang sakit jiwa bukan orang
yang kurang menerima, tetapi orang yang bakhil
memberi. Kenapa itu semua? Sebabnya mudah. Memberi itu
fitrah kita. Kita ini kan hamba Allah. Kita slave,
bukannya servant. Seorang hamba tidak berhak
mengungkit-ungkit tentang apa yang dia terima. Malah
sentiasa sedar yang tugasnya adalah memberi mengikut
kemahuan tuannya; juga kemahuan Tuhannya. Sifat
kehambaan hanya datang selepas kita perkenalkan Allah
kembali kepada mereka, agar terserlah Allah itu Tuhan
dan mereka adalah hamba. Manusia yang lupa dirinya
hamba, akan banyak bercakap soal hak, compensation dan
pendapatan. Jika ini mentaliti pendakwah, memang tiada
masa untuk berdakwah sebab dakwah itu solid memberi,
tanpa menerima.
Namun, selepas terbit rasa kehambaan kepada Allah,
maka dengan sendirinya, secara inside out, mereka mahu
memberi kebaikan dan berkongsinya dengan kawan-kawan.
Mereka terasa apa yang mereka dapat itu sangat
berharga. Lantas sifat hamba, mendorong mereka untuk
memanjangkan kebaikan itu dengan memberinya kepada
orang lain. Tanpa disedari, mereka sudahkan mengorak
langkah di arena kewajipan berdakwah. Kata kunci saya
di sini, UBAH PENDIRIAN, FIKRAH DAN FAHAM DAKWAH,
MESTILAH SECARA INSIDE OUT.
KESIMPULAN
Inilah di antara perkara yang sempat saya catatkan
supaya empat perkara di atas dapat difikirkan bersama.
Adakah dakwah kita selama ini mengambil peduli soal
BAB 1 yang saya sebutkan tadi? Saya amat bersetuju
dengan pendapat guru saya, Puan Ainon Mohd , ketika
dia mengajar saya KJ Method beberapa minggu yang lalu.
Padanya, pemikiran secara linear, seperti di dalam
Matematik adalah tidak fitrah. Ia adalah corak
pemikiran ciptaan manusia. Allah menciptakan manusia
dengan akal fikiran yang mampu berfikir pelbagai
perkara di dalam satu masa. Pelbagai subjek yang tiada
kena mengena antara satu sama lain, tetapi tersusun
dan boleh difahami belaka. Malah ayat-ayat al-Quran
juga tidak turun secara linear. Ini adalah asas kepada
KJ Method. Dan pada saya ini juga asas dalam dakwah.
Kita boleh sampaikan manusia kepada matlamat Islam
daripada pelbagai permulaan dan jalan kerana fitrahnya
begitu.
Marilah kreatif dalam berdakwah. Jangan konservatif
sangat, itu kan tidak fitrah. Kalau tidak fitrah,
memang susah untuk perkasa. FITRAH PERKASA
di petik dari http://www.saifulislam.com/artikel/babsatudakwah.html