Hari Valentine 14 Februari : Pendirian Islam
Sepintas lalu
Tanggal 14 Februari setiap tahun, seluruh penduduk dunia khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan hari Valentine, suatu hari ‘rasmi’ untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan ‘greeting card’ dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan diakhirnya kedapatan yang menghadiahkan kehormatan sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.
Pendirian Islam
1. Islam menyatakan penegasannya kepada umat Islam agar berhati-hati dengan perancangan halus Nasrani (dan Yahudi) yang mahu memalingkan mereka dari millah Islam.
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti millah (cara hidup) mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (al Baqarah :120)
"Tidak akan berlaku kiamat sebelum umatku mengikuti apa-apa yang dilakukan bangsa-bangsa terdahulu, selangkah demi selangkah, sehasta demi sehasta". Diantara para sahabat ada yang bertanya "Ya, Rasululah apakah kamu maksudkan bangsa-bangsa Yahudi dan Nasrani ?" Rasulullah menjawab "Siapa lagi (kalau bukan mereka)”. (hadis riwayat Bukhori)
2. Islam menyatakan amaran kepada umat Islam bahawa Allah Taala akan menimpakan musibah kepada mereka jika mengikuti hawa nafsu orang-orang kafir dan tatkala musibah diturunkan, Allah tidak akan menjadi pelindung dan penolong ke atas mereka.
“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik”. (Al Maidah : 49)
3. Islam menyatakan bahawa setiap perbuatan umat Islam ada hukum syariatnya (kaedah syara’ : “Al-Aslu Fil Af’aal At-Taqaiyyud Bil-Hukmi Asy-Syar’ie”).
Apa jua perayaan yang mahu disambut oleh umat Islam mestilah dikenalpasti asal-usulnya dan unsur-unsurnya sama ada terkandung di dalamnya usul dan unsur haram atau tidak. Firman Allah Taala : “ Dan janganlah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya”. (Surah Al-Isra : 36). Islam juga apabila mengharamkan sesuatu, pasti ada hikmah di sebaliknya, sama ada berjaya dibuktikan kajian saintifik-medik mahupun belum dibuktikan. Pada setiap amalan jahiliyah yang diharamkan, Islam sentiasa mendatangkan alternatif yang jauh lebih baik.
“Satu ketika Rasulullah datang ke Madinah dia melihat penduduk Madinah bersuka ria dalam dua hari. Kemudian Rasulullah bertanya: “Apakah dua hari ini? ”. Pada sahabat menjawab: “Dua hari tadi adalah hari dimana kami bermain-main dan bersuka cita di masa jahiliyah!”. Maka bersabdalah Rasulullah: “Sesungguhnya Allah telah mengganti dua hari itu dengan dua hari yang lebih baik bagi kalian: ‘Idul Adha dan ‘Idul Fithri.” (Hadis riwayat Abu Daud)
4. Islam menyatakan bahawa menyerupai peradaban dan cara hidup orang kafir (tasyabuh) adalah bererti menjadi sebahagian dari mereka.
· “Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka dia termasuk dari golongan mereka" (hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad dari Ibnu Umar).
· "Tidak termasuk golonganku orang-orang yang menyerupai selain golongan umat ku (umat Islam)" (Hadis riwayat At-Tirmidzi dari Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya).
5. Berdasarkan The World Book Encyclopedia 1998, dijelaskan bahawa hari kasih sayang sebenarnya adalah budaya bangsa Rom Kuno (ancient Roman) yang diadakan setiap 13 hingga 18 Februari untuk menghormati Dewi Cinta (Juno) iaitu Ratu Dewa Dewi bangsa Romawi
Acara ini bermula pada 13 Februari, iaitu setiap gadis akan menuliskan namanya pada sehelai kertas dan memasukkannya ke dalam sebuah kotak. Kemudian pada 14 Februari setiap pemuda akan memilih satu lipatan kertas dalam kotak itu. Mereka akan hidup bersama perempuan yang ada namanya dalam lipatan kertas itu selama satu tahun. Jika dalam masa itu mereka menganggap diri masing-masing sesuai antara satu sama lain dan saling mencintai, maka kedua-duanya akan dinikahkan. Upacara ini dikenali sebagai Lupercalia, sebuah upacara pensucian serta memohon perlindungan kepada Dewa Lupercalia dari gangguan serigala dan gangguan-gangguan lainnya.. Selepas agama Kristian memasuki Rom, maka mereka mengambil dan mewarnai upacara tradisi ini dengan unsur Kristian serta menjadikannya sebahagian daripada ajaran agama mereka
Ken Sweiger dalam artikel "Should Biblical Christian Observe It?" mengatakan bahwa kata "Valentine" adalah berasal dari kata Latin yang memiliki arti : "Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa" yang ditujukan kepada Tuhan orang Romawi yaitu Nimrod dan Lupercus.
6. Menurut Encyclopedia Britanica, pada 496 Masihi, Gelasius I menjadikan upacara menghormati Dewi Juno satu bentuk daripada perayaan gereja dan menukar Lupercalia kepada Valentine's Day. Ia untuk menghormati St Valentine, iaitu seorang yang dianggap suci dalam agama Kristian yang kebetulan dihukum mati pada 14 Februari 296 M.
· The Catholic Encyclopedia menjelaskan bahawa ada tiga orang suci (saint) dalam agama Kristian yang mempunyai nama Valentine. Mereka ialah orang yang dianggap memiliki jasa besar terhadap agama itu. Antara mereka ialah St Valentine yang hidup pada zaman Claudius II.
· Valentine mengabdikan dirinya sebagai pendeta pada masa pemerintahan Kaisar Claudius. Claudius II, Maharaja Kerajaan Romawi. Namun kemudian Kaisar memenjarakannya karena dia menentang Kaisar. Penentangan ini bermula pada saat Kaisar mahu membentuk tentera dalam jumlah yang besar demi meneruskan agenda penaklukannya terhadap kerajaan-kerajaan dunia yang lain. Kemudian didapati ramai kaum lelaki muda tidak menyertainya kerana tidak mahu berpisah dengan isteri mereka atau kehilangan anak-anak serta kaum keluarga mereka. Lantas Kaisar mengharamkan perkahwinan kerana baginya hanya cara itu sahaja boleh mengerahkan semua lelaki muda di Rom bergabung menjadi tenteranya. Namun paderi Valentine menentang secara rahsia arahan tersebut dan meneruskan tanggungjawabnya menikahkan mana-mana pasangan yang mahu berkahwin walau secara rahsia. Akhirnya tindakannya diketahui dan dia dipenjara dan dijatuhkan hukuman pancung di akhirnya oleh Claudius Kaisar Romawi II
· Sumber-sumber menyatakan juga, ketika St. Valentine dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan, sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh. Beliau rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan “From your valentine” (daripada Valentinemu).
· Justeru pengorbanan yang begitu besar, paderi Valentino diberi gelaran St atau kedudukannya sama dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh pengikut-pengikutnya. Bagi mengingati St. Valentino, maka pada tahun 350M, sebuah gereja dibina berhampiran perkuburan beliau.
· Untuk mengagungkan St. Valentine juga, yang dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka para pengikutnya memperingati tarikh kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'. Tetapi sejak abad 16 M, 'upacara keagamaan' tersebut mulai beransur-ansur hilang dan berubah menjadi 'perayaan bukan keagamaan'. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut “Supercalis” yang jatuh pada tanggal 15 Februari.
· Adat mengirim surat pada Hari Valentine dimulakan oleh The Duke of Orleans yang dipenjara di Tower of London pada 1415. Pada setiap 14 Februari, dia akan mengirimkan surat berupa puisi kasih sayang kepada isterinya di rumah. Perbuatan ini kemudian ditiru oleh masyarakat Barat.
· Dalam bahasa Perancis Normandia, pada abad pertengahan, terdapat kata “Galentine” yang bererti 'galant atau cinta'. Persamaan bunyi antara galentine dan valentine menyebabkan orang berfikir bahwa sebaiknya para pemuda dalam mencari pasangan hidupnya pada tanggal 14 Februari.
“Sejarah asal hari Valentine ini mempunyai hubungan dengan pemujaan berhala dan patung dalam masyarakat orang Rom sebelum 17 abad yang lalu. Perayaan ini pada mulanya diperkenalkan dalam masyarakat mereka sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan. Sesungguhnya amalan memuja patung dan berhala dalam Islam adalah salah dan berdosa besar. Dosanya tidak diampuni Allah, kecuali dengan taubat yang suci dan bersih.”- Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor, Bekas Pensyarah Jabatan Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (Utusan Malaysia, 10 Februari 2002)
Antara legenda yang tersebar di kalangan orang Rom dan kemudiannya dipercayai penganut agama Kristian, kononnya Romelios datuk bandar Rom, pernah disusuli seekor binatang ganjil. Sejak itu ia mendapat kekuatan tenaga dan fikiran yang luar biasa.
Orang Rom menjadikan peristiwa yang berlaku pada tarikh 14 Februari itu, sebagai sejarah bagi perayaan tahunan mereka yang diadakan secara besar-besaran. Antara upacara rasmi pada hari itu ialah menyembelih anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada badan dua pemuda, kemudian dibasuh dengan susu, sebelum mereka diarak di tengah-tengah kota Rom. Ketika perarakan berlangsung, kedua-dua pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing yang disembelih dan masih berlumuran darah, mereka mencalit darah itu kepada siapa sahaja yang sempat dicalit. Anak-anak gadis bangsa Rom sangat suka jika badan mereka sempat dicalit darah oleh dua pemuda itu, kerana dipercayai mereka mampu mengandung dan tidak akan mandul lagi.
“Ramai penganut Kristian sendiri meragui kesahihan St. Valentine mempunyai hubungan dengan amalan pemujaan patung dan berhala. Jika sumber-sumber Kristian meragui kebenarannya, maka orang Islam lebih wajar menolak perayaan itu, kerana ajaran hendaklah berasaskan berita yang sahih dan benar. perayaan ini pernah diharam oleh paderi-paderi Kristian di Itali pada suatu ketika dahulu, dengan alasan ia banyak merosakkan akhlak muda mudi mereka. Umat Islam sepatutnya tidak mengambil apa yang buruk dan diakui keburukan oleh pengamal-pengamalnya sendiri” – Dr. Abdul Hayei
Berdasarkan satu sumber sejarah juga, Valentine adalah hari meraikan kejayaan tentera paderi St Valentino menjatuhkan kerajaan Islam Andalusia, Sepanyol pada 14 Februari
Menurut Pensyarah Perbandingan Agama, Akademi Islam, Universiti Malaya, Khadijah Mohd. Hambali dan Peguam Zulkifli Nordin, Valentine berasal dari nama Pedro Saint.Valentino, seorang paderi Katolik paling berpengaruh di Cordova dan mendapat tempat kedua di sisi masyarakar Eropah selepas Pope, hidup pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. St. Valentino antara orang terpenting yang bertanggungjawab menzalimi umat Islam Cordova (Sepanyol) dan mengerahkan bala tenteranya menawan Cordova daripada umat Islam ialah pada 14 Februari 1492.
7. Konsep kasih sayang dalam Islam
Kasih sayang dalam Islam adalah Al-Hubb yang berlandaskan aqidah Islamiyah dan berkonsepkan ‘fillah’ (kerana Allah), dan tidak kerana kepentingan duniawi. Kasih sayang dalam Islam adalah adalah pertemuan dan perpisahan kerana Allah, kasih dan murka kerana Allah. Semua umat Islam adalah bersaudara dan Islam telah mewajibkan ukhuwwah dan mahabbah ke atas sesama mereka.
Nabi SAW bersabda : "Tidak beriman antara kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri" (hadis riwayat Bukhari)
"Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya melebihi tiga hari" (hadis riwayat Muslim)
"Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal kecintaan, kasih-sayang dan belas kasihan sesama mereka, laksana satu tubuh. Apabila sakit satu anggota dari tubuh tersebut, maka akan menjalarlah kesakitan itu pada semua anggota tubuh itu sehingga tidak melenakan tidur (insomnia) dan demam (panas dingin)”. (hadis riwayat Muslim).
"Tidak akan masuk surga kecuali orang yang penyayang" (hadis riwayat Al-Baihaqi daripada Anas r.a.)
Kasih sayang dalam Islam tidak ‘berhari’ dengan hari-hari tertentu dan ‘bermusim’ dan batasannya tidak bernoktah melainkan apa yang telah dizahirkan batasannya oleh hukum Allah. Kasih sayang dalam Islam adalah sebagaimana kasih sayang Muhajirin dan Ansar yang dimanifestasikan dengan pengorbanan harta benda termasuk isteri-isteri mereka. Kasih sayang kepada makhluk dalam Islam adalah kasih sayang yang mendaulatkan kasih sayang kepada Rasulullah mengatasi segala kasih sayang kepada selain baginda. Rasulullah adalah lebih awla diingati dan dijadikan ‘kekasih’ kerana bagi baginda, umatnya adalah kekasihnya (ummati…ummati…ummati…).
7. Kasih sayang antara lelaki dan perempuan dalam Islam pula adalah kasih saying yang menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan perzinaan. Kasih saying dalam Islam adalah hubungan secara syar’ie antara mukmin dan mukminah yang menjuruskan kepada matlamat perkahwinan yang syarie, bukan semata-mata bertujuan mut’ah atau keseronokan sementara yang mempertuhankan hawa nafsu.
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (al-Israa' : 32).
Penutup
Sesungguhnya para ulama Islam sepakat memfatwakan haram bagi masyarakat Islam ikut serta merayakan Hari Kekasih, menyambut ucapan dan melakukan perbuatan yang menjadi syiar hari itu, seperti menghadiah bunga ros, meniup belon merah, memakai blaus merah dan sebagainya. Antara ulama yang memfatwakan haram menyertai perayaan ini ialah Dr. Saud Salleh dari Universiti Azhar, Syeikh Uthaimin dari Majlis Fatwa Saudi Arabia, Syeikh Jabrin dan lain-lain. Kesimpulannya, Islam tidak mengiktiraf sama sekali hari Valentine 14 Februari kerana usul dan unsurnya. Usulnya yang mempunyai rekod sejarah yang ‘berbahaya’ kepada aqidah dan sejarah Islam, dan unsurnya yang menaja khalwat dan perzinaan. Islam telah mempunyai ‘Hari Kasih Sayang’ nya yang tersendiri iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban. (rujuk Sahih al-Bukhari 952, Muslim 18920).
Islam tidak pernah mengharamkan manusia menunaikan permintaan fitrah yang dianugerahkan Allah kepadanya seperti makan, minum, mencari rezeki, dan termasuk berkasih sayang. Tetapi Islam ‘mengawal’ fitrah ini dari sifat keterlaluan (meremeh dan melampaui batasan syara’) dan sikap menentangnya (rahbaniah atau kependetaan).
Seharusnya umat Islam hari ini khususnya di Malaysia yang kerap kelihatan turut sama meraikan hari Valentine 14 Februari setiap tahun ini, menjadikan tragedi Tsunami 26 Disember 2004 yang lalu sebagai sebaik-baik peringatan Allah Taala bahawa setiap amal kemaksiatan dan kerosakan di atas muka bumi Allah bisa sahaja dibalas Allah lebih awal di atas dunia ini.
Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia selepas ini berterusan menjadi 14 Februari sebagai hari ‘percintaan rasmi’ mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan 14 Februari sebagai hari bersatunya ukhuwwah mukminin sesama mukminin dan mukminat sesama mukminat dengan memperkukuh ikatan ukhuwwah, kasih sayang dan “al-Hubb Fillah’ mereka, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan perzinaan tajaan Yahudi dan Nasrani zaman berzaman.


0 Comments:
Post a Comment
<< Home