Umat Islam perlu waspada strategi Amerika
Oleh Saidatul Amani
Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Abd Ghani Shamsudin mengingatkan umat Islam supaya berwaspada dengan strategi Amerika Syarikat yang mendakwa semua gerakan Islam menggugat keamanan dunia.
Menurut beliau, strategi Amerika jelas membuktikan kebijaksanaan golongan Zionis untuk memusnahkan kebangkitan Islam secara menyeluruh.
"Tindakan golongan Zionis menentang gerakan Islam seperti 'memburu binatang dalam hutan' sehingga menimbulkan keseronokan," tegasnya dalam kuliah mingguan di pejabat Harakah semalam.
Menurutnya, gerakan Islam juga perlu berhati-hati dengan kewujudan golongan liberal yang menyerang Islam dari dalam dengan tujuan menyerang pemikiran ulama supaya Islam menjadi lemah.
Beliau kesal dengan sikap Amerika yang mendakwa gerakan Islam sebagai pengganas sedangkan golongan itu berusaha untuk membuat perubahan dalam masyarakatnya.
Katanya, ini kerana kuasa Barat amat khuatir dengan kebangkitan Islam sekiranya golongan ulama dapat menguasai politik dunia.
Ustaz Abd Ghani turut meragui penubuhan pusat-pusat kajian krisis kerana didapati pusat itu bukan hanya mengkaji krisis yang ada bahkan mungkin menjadi pusat yang melakarkan krisis baru untuk menjayakan perancangan Zionis sehingga peringkat global.
"Ini merupakan satu perancangan halus Amerika bagi menimbulkan pelbagai krisis di kalangan umat Islam kerana jika tidak ada krisis maka kebangkitan gerakan Islam tidak dapat dihalang," tegasnya.
Selain itu, beliau turut menyentuh cabaran dalaman yang sering berlaku dalam gerakan Islam seperti kurang tarbiyah, keselarasan sesama sendiri dan ada usaha menyerapkan pemikiran ala liberalisme dalam kumpulan sehingga menggugat kekuatan gerakan Islam.
Katanya, masalah dalaman merupakan cabaran yang dihadapi oleh banyak gerakan Islam disebabkan kelemahan komitmen berusrah, tamrin, mendengar pimpinan berceramah dan sebagainya. - mks.


0 Comments:
Post a Comment
<< Home