Pendaftaran Semester 2
10.00 am -
Hari ini pendaftaran untuk pemilihan subjek bagi semester kedua diadakan. Saya terpacak di Bilik seminar sejak jam 10 pagi. Belum ramai yang muncul tatkala itu. Alex sedang mengadap komputer tika saya sampai di makmal IT. Dia menyapa saya mesra ketika saya melangkah masuk. Abu Bakar, Dr Abbas dan Prof Awaisi telah menapak ke Bilik Seminar 2. Taklimat dimulakan.
Saya memilih modul Arabic Text sebagai modul pilihan di samping Islamic Jerusalem Today, Postgraduate Research Methods dan History of Islamic Jerusalem 2 sebagai modul wajib. Tidak ramai yang mengambil Arabic Text mulanya, saya terpaksa mempromosikan subjek ini kepada kawan2 lain, atau saya akan keseorangan dalam kelas ini. Kemudiannya, kami dapati subjek ini memang menarik, lebih2 lagi saya memang suka i'rab dan nahu. Lebih penting, mudah-mudahan saya dapat memajukan kemahiran bahasa Arab di samping bahasa Inggeris di sini, kerana subjek ini dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Arab.
2.30 pm - Mesyuarat Centre of Islamic Jeruslaem Studies
Kemudian, kami ada mesyuarat Centre of Islamic Jerusalem Studies selepas solat Jumaat dan solat asar. Pelbagai perkara dibincangkan khususnya tentang konferens yang akan diadakan bulan Mei nanti. Semua kami telah diberi tugasan dalam pertemuan yang lepas untuk membuat kertas kerja di bawah tajuk tertentu untuk dibentangkan sebagai sejarah bidang pengajian baru ini, Islamic Jerusalem Studies (new field of inquiry - term ini sanagt gemar digunakan oleh Prof Awaisi). Saya dan suami saya, Amin ditaklifkan untuk membuat kertas kerja tentang scholarship.
Bidang ini memang baru. Kami sebenarnya boleh dikira di kalangan 'pioneer'. Kalau ditanya kepada orang awam hatta ahli akademik sekalipun, ramai yang akan memberi tanggapan yang silap tentang bidang ini. Prof Awaisi menekankan bahawa bidang ini mengkaji Baitul Maqdis secara akademik - dari semua aspek; religously, historicaly, geografically etc, tanpa campur tangan pengaruh politik. Banyak penulisan yang dibuat hari ini, ada pengaruh politik. Pelik? Mungkin ada yang terheran-heran... Tunggu! Mungkin anda agak kurang faham dengan pernyataan ini. Panjang untuk diceritakan. Nantilah, akan saya ceritakan sedikit demi sedikit nanti...
Al-Maktoum Arabic and Islamic Cultural Centre
Seusai pertemuan, saya sempat membaca potongan akhbar yang ditampal di papan notis, His Highness Sheikh Hamdan Bin Rashid Al Maktoum, Dubai Deputy Ruler and Minister of Finance and Industry UAE bersetuju untuk membiayai dana pembinaan Al-Maktoum Arabic and Islamic Cultural Centre berhampiran rumah Paezah. Bangunan ini akan menampung masjid, pusat sukan, perpustakaan dan tempat pengajian. Maknanya, kami akan berpindah ke bangunan itu nanti.
Bangunan kami sekarang adalah bekas sekolah rendah yang ditukar menjadi institut pengajian tinggi. Tapi, dilengkapi dengan semua fasiliti sebuah universiti, dari sistem perpustakaan digital, alat pembaca microfilm, mesin fotostat berkad hinggalah CCTV (rakaman video di pintu masuk 24 jam). Walaubagaimanapun, saya bersyukur. Sekira-kira, intitusi pengajian yang tidak terlalu ramai penghuninya ini memungkinkan hubungan antara kami sangat erat.
Pertemuan bakal haji
Selepas rehat sepuluh minit untuk solat maghrib, kami yang terlibat dengan trip haji menyambung pula perjumpaan bakal haji. Rombongan haji dari Al-Maktoum Institut tahun ini adalah yang pertama kali diadakan.
Tahun ini, Sheikh Hamdan Al-Maktoum telah menanggung pembiayaan haji, semuanya; termasuk perjalanan,tempat tinggal, korban dan makan, untuk 10 orang dari Al-Maktoum Institute. Pemilihan dibuat dengan mencabut undi dari nama-nama pemohon yang berkelayakan. Yang terpilih adalah 6 orang pelajar Al-Maktoum; saya, Paezah, Roslan, Hany, Khalid dan Muhammad Habib, tiga orang staf; Abu Bakar, Maher dan Sarah, dan seorang ahli Al-Maktoum institue Council; Ann. Bersama kami juga adalah peserta yang dalam tanggungan sendiri, suami saya merangkap mahram saya; Amin, suami Paezah; Raja, isteri Habib, isteri Maher; 'Ala', ibu Khalid dan Sarah plus isteri Prof Awaisi; Ahlaf dan anak lelaki Ann.
Dalam pertemuan kali ini, Prof Awaisi memberi penerangan dan nasihat tentang perjalanan menunaikan haji. Banyak pesanan-pesanan berharga dititipkan buat kami, tambahan beliau telah berpengalaman menunaikan haji tahun lepas.
Amin dipilih menjadi 'amir' (ketua) antara kami berenam, dengan pengalamannya menunaikan haji sebelumnya. Bermakna, beliau bukan sahaja akan menjadi mahram kepada saya, tetapi perlu menjaga semua ahli rombongan kami! Tidak mengapalah, saya redha...
Prof Awaisi berpesan agar kami sentiasa berSABAR menghadapi apa jua mehnah di sana. Sebab mehnahnya akan banyak sangat.
Di akhir pertemuan, setelah dibincang-bincangkan tentang pemakanan kami di sana, Prof Awaisi mengambil keputusan untuk menyerahkan tunai 300 pound sterling seorang (untuk 10 orang itu) sebelum kami berangkat. Banyak jumlah tu, boleh tampung pula makanan untuk saya dan Amin malah ada baki lagi.
Subhanalah. Saya sungguh bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan ini. Murah sungguh rezeki saya dan Amin lepas kami kahwin. Saya sungguh bersyukur kepada Allah Taala.
Dahulu, sejak saya di Mesir lagi, saya sangat teringin untuk menunaikan haji semasa belajar, bila melihat sahabat-sahabat yang cukup syarat pergi haji dengan rombongan PMRAM. SEbelum berangkat ke Scotland pun, saya memasang niat untuk ke Mekah dari sini, walaupun kelihatan seperti tidak logik kerana dari sini kosnya lagi tinggi berbanding Mesir. Alhamdulillah, rezeki Allah, tiada sesiapa yang dapat menghalang, saya dapat pergi dari sini.
Justeru, saya perlu lebih bersedia untuk cuba menunaikan haji sebaik mungkin yang saya mampu.
Dan sekarang, saya di hadapan internet menghadap laman web haj-e.com untuk mengulangkaji kaedah-kaedah menunaikan haji. Mudahan Allah mengizinkan saya, Amin dan rombongan kami untuk menjadi tetamuNya...ameen ya Rabbal alameen


0 Comments:
Post a Comment
<< Home